Kategori Pencawang Pembahagian Elektrik
Mengikut Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 Dari Akta Bekalan Elektrik 447 1990\
"Pencawang ertinya mana-mana premis atau bahagiannya yang terkepung yang mempunyai radas sama ada untuk mengubah atau menurunkan tenaga kepada atau daripada voltan tinggi (selain daripada mengubah atau menurunkan tenaga semata-mata bagi pengendalian peranti pensuisan atau peralatan), atau untuk pensuisan, pengawalan atau pengawalseliaan tenaga pada voltan tinggi dan yang cukup besar untuk membolehkan orang masuk selepas radas diletakkan pada tempat itu, dan termasuk radas di dalamnya."
Pencawang elektrik pembahagian adalah penempatan dan pemasangan beberapa perkakasan atau radas elektrik seperti alat pensuisan voltan tinggi, pengubah tiga fasa, kabel voltan tinggi, kabel voltan rendah dan papan pengagihan voltan rendah, pengecas bateri.
Tujuannya ialah untuk mengarahkan pengaliran tenaga elektrik dalam sistem kuasa dan memastikan keselamatan sistem dengan menyediakan satu skim perlindungan.
Pencawang Elektrik, secara asas mengandungi satu atau beberapa litar pendatang (in-coming) dan keluar (out-going) yang dikawal oleh alat pensuisan voltan tinggi dan bertemu disatu atau lebih sistem basbar yang sama.
KRITERIA PEMILIHAN PEMBINAAN PENCAWANG
Kriteria bagi pemilihan pembinaan pencawang adalah seperti berikut:
- Keperluan dan jenis pengguna seperti kampung, taman perumahan,hotel, industri kecil atau besar dll.
- Memperkukuhkan sistem pembahagian voltan tinggi atau voltan rendah
- Lokasi fizikal pencawang
- Kos
- Jenis pencawang dan alatsuis yang akan digunakan
- Keadaan beban dan pengagihan beban dalam jangka masa panjang
- Bekalan untuk pencawang
- Komponen dan Alat kawalan sepert SCADA, RTU, Kapasitor Bank dll
Secara Lazimnya terdapat Tiga (3) Kategori Pencawang untuk Pembahagian Bekalan Elektrik:
- Pencawang Masuk Utama (PMU)
- Pencawang Pembahagian Utama (PPU)
- Pencawang Elektrik (PE)
Walaubagaimanapon, terdapat tambahan satu (1) Kategori Pencawang bagi pengguna pukal iaitu Stesen Suis Utama (SSU).
KATEGORI PENCAWANG TNB
275/132/132/33/22/11KV
1. PENCAWANG MASUK UTAMA (PMU)
Punca penyambungan antara sistem penghantaran dan pembahagian di mana nilai voltan sistem penghantaran di rendahkan untuk sistem pembahagian.
2. PENCAWANG PEMBAHAGIAN UTAMA (PPU)
Punca penyambungan sistem pembahagian 33kV dan 22kV di mana nilai voltan 33kV atau 22kV di rendahkan untuk rangkaian 11kV. Keupayaan pengubah yang biasa digunakan ialah 7.5 MVA, 15 MVA dan 30 MVA.
3. STESEN SUIS UTAMA (SSU)
Stesen Suis Utama adalah pengumpulan dan pemasangan pemutus litar voltan tinggi 33kV, 22kV atau 11kV sahaja tanpa pengubah yang diwujudkan bagi tujuan:
- Membekal pengguna besar
- Membekal pengguna biasa
- Mengukuh rangkaian
4. PENCAWANG ELEKTRIK (P/E)
Pencawang Elektrik adalah punca dimana nilai voltan tinggi 33kV, 22kV atau 11kV direndahkan kepada 433/250V bagi membekalkan tenaga elektrik kepada pengguna kecil dan domestik melalui sesalur talian atas atau kabel voltan rendah.
Secara Asasnya, turutan konfigurasi Pembahagian Bekalan Elektrik adalah seperti berikut:
- PMU (132 / 33kV) -- PPU (33 /11kV) -- PE (11kV / 0.433kV)
- PMU(132 / 33kV) -- PPU (33 /11kV) -- SSU (11kV) -- PE (11 / 0.433kV)
- PMU (132 / 33kV) -- SSU (33 /11kV) -- PE(11kV / 0.433kV)
- PMU (132 / 11kV) -- SSU (11kV) -- PE (11kV / 0.433kV)
Comments
Post a Comment